Semasa artikel ini ditulis, saya berada di lapangan terbang sedang menunggu daftar masuk untuk penerbangan ke luar negara. Jam di tangan menunjukan jam 3 pagi. Masih ada 3 jam sebelum penerbangan saya iaitu pada Jam 6 pagi. Saya memutuskan untuk mengisi masa terluang yang ada ini dengan mencatatkan pengalaman perjalanan saya ini, di sini. Perjalanan saya ke luar negara pada kali ini bertujuan menghadiri konvensyen inovasi selama tiga hari. Rasanya sudah lama saya tidak melakukan perjalanan ke luar negara. Perjalanan terakhir saya ke luar negara dicatat pada November 2019. Kira-kira sebulan sebelum dunia mengesahkan kes penyakit koronavirus baharu yang menjadi penyebab penyakit pernafasan sekelompok penduduk di Bandar Wuhan, Wilayah Hubei, China.
Saya membuat persiapan memperbaharui pas perjalanan dua minggu sebelum memulakan perjalanan. Kali terakhir saya berurusan di Pejabat Imigresen adalah pada lapan tahun lalu iaitu pada Mac 2016. Wah, lama betul tidak berkunjung ke Pejabat Imigresen. Maklumlah tiada urusan. Saya hadir ke cawangan Pejabat Imigresen yang terdekat kira-kira jam 3.30 petang. Ketika saya melangkah masuk di pejabat, saya lihat ada beberapa orang pengunjung lain sedang menunggu giliran. Kerusi menunggu juga banyak yang kosong. Melihat keadaan itu, saya terus melangkah ke kaunter untuk mengambil nombor giliran. Sampai sahaja di kaunter, saya dimaklumkan bahawa polisi memperbaharui pasport telah dinaiktaraf. Setiap proses dilakukan sendiri oleh pemohon dari mengisi maklumat peribadi sehingga deklarasi. Semuanya dilakukan secara atas talian. Salah saya juga kerana tidak membuat pembacaan awal di laman sesawang Pejabat Imigresen sebelum membuat kunjungan. Jadi saya mengambil tempat di kerusi menunggu dan terus membuat permohonan di atas talian.
Secara ringkasnya, ini adalah langkah-langkah yang diambi untuk memperbaharui pas perjalanan atau pasport:
- Pergi ke laman permohonan atas talian Jabatan Imigresen Malaysia – Hanya individu yang berumur 13 tahun ke atas boleh memohon secara atas talian. Sila klik di pautan yang saya berikan ini untuk memulakan Permohonan Dalam Talian.
- Pilih MYONLINE PASSPORT – Anda akan dibawa ke paparan pemuka MYIMMS – EServices Jabatab Imigresen Malaysia. Di bawah MyOnline Passport, pilih Permohonan Passport – Application for the renewal of passport. Baca arahan, terma dan syarat serta jawapan kepada soalan-soalan lazim. Nyatakan persetujuan dengan menekan butang setuju.
- Kategori Pemohon – Anda akan dibawa kepada kategori permohonan samada anda berusia 18 tahun ke atas atau sebaliknya. Masukkan maklumat carian seperti no passport, jenis dokumen, nombor kad pengenalan semasa, kategori dan sebagainya. Ikut sahaja arahan.
- Guna aplikasi Setelah maklumat carian diperoleh, saya diminta untuk masukkan gambar mengikut spesifikasi passport. Untuk memenuhi piawaian gambar, saya gunakan applikasi seperti remove.bg untuk memuat naik gambar tanpa latar belakang, untuk pasport.
- Lengkapkan permohonan – Setelah semuanya lengkap, terus hantar permohonan. Setelah itu, saya dibawa kepada paparan pemuka untuk membuat bayaran. Saya dikenakan bayaran sebanyak RM200 bagi kategori yang dipilih.
- Bayar atas talian – Setelah bayaran berjaya dibuat, resit bayaran perlu dicetak dan diserah di kaunter semasa mengambil nombor giliran. Mujur ada kedai yang menyediakan perkhidmatan mencetak di hadapan Pejabat Imigresen di cawangan yang saya kunjungi.
- Pasport siap dalam 15 minit – Setelah mendapat nombor giliran, saya menunggu seketika untuk beberapa proses lain. Kira-kira 15 minit, pasport baru saya berjaya diperolehi. Pasport lama saya digunting tanda telah dipulang semula ke Pejabat Imigresen semasa diperbaharui. Mujur dapat simpan. Banyak kenangan dalam buku ini.
Berdasarkan pengalaman saya ini, proses memperbaharui pasport secara talian adalah mudah kecuali proses memuat naik gambar untuk permohonan. Hampir-hampir saya putus asa kerana sukar memenuhi syarat gambar yang diluluskan. Ada ketika fail terlalu besar. Ada juga menerima maklumbalas mata tidak pandang ke depan. Betul-betul mencabar.
Apa pun syukur saya urusan saya memperbaharui pasport dipermudahkan dan berjaya. Tidak sabar rasanya untuk memulakan perjalanan ke luar negara setelah hampir lima tahun tidak berbuat demikian. Maafkan muka mengantuk saya dalam video. Doakan perjalanan dan urusan saya berjalan dengan lancar. Amin.
